Thursday, 16 February 2012

Allah pay in cash

Kadang-kadang kita tak sedar, setiap perbuatan kita akan mendapat pembalasan setimpalnya ataupun mungkin lebih daripada itu.  Setiap pertolongan yang diberikan walaupun sedikit sentiasa mendapat balasan yang ada kalanya kita tak sangka langsung.  Saya mengalaminya semalam.  Saya tidak menyangka pertolongan tidak seberapa yang dihulurkan kepada seorang jiran yang dalam kesusahan menyebabkan saya turut menerima pertolongan yang saya kira amat besar maknanya kepada saya.

Dua minggu yang lalu, saya mengikuti sesi pemukiman (retreat) syarikat di Port Dickson.  Saya pergi bersendirian tanpa ditemani oleh seisi keluarga kerana saya pergi untuk kerja dari pagi sampai tengah malam.  Jika saya membawa keluarga, tentunya saya akan berasa stress dan bersalah terhadap anak-anak saya terutama Umairah yang masih kecil dan memerlukan perhatian saya.  Rupa-rupanya tindakan saya itu bersangkutan dengan apa yang berlaku semalam.  Hari ini saya menyedari bahawa setiap tindakan yang saya ambil pasti ada hikmahnya.

Semasa di PD, seorang jiran selang sebuah rumah telah menelefon.  Dia memberitahu yang tayar keretanya pancit dan meminta pertolongan suami saya untuk menggantikan tayar tersebut kerana suaminya tiada di rumah.  Saya beritahu beliau, saya tiada di rumah tetapi suami ada tetapi suami memang tak pandai menukar tayar.  Selalunya kami akan menyuruh mekanik menukarkannya.  Bagaimanapun, saya berkata saya akan meminta suami saya mencarikan mekanik dari workshop yang terletak tidak jauh daripada rumah kami.  Saya terus menelefon suami saya dan meminta suami membawakan mekanik ke rumah jiran kami itu.  Selepas itu saya tidak pasti apa yang terjadi dan saya meneruskan program pejabat.  Malamnya, saya menerima panggilan telefon daripada jiran tadi dan beliau mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kerana menolongnya.  Saya katakan, pertolongan itu tidak seberapa dan saya pun hanya menolong menelefon suami sahaja.

Tanpa saya duga, semalam, hampir dua minggu selepas peristiwa itu berlaku, kejadian yang sama menimpa saya.  Bezanya, saya menyedari tayar kereta saya pancit semasa dalam perjalanan pulang ke rumah.  Saya hampir cemas kerana tayar ganti kereta saya juga ditampal, maksudnya ia bukan tayar baharu.  Kawan saya mengaku dia pandai menukar tayar kereta tetapi masih terkial-kial menukarnya.  Entah bagaimana, seorang pemuda yang baru pulang daripada kerja telah memerhatikan saya dan bertanyakan masalah saya.  Beliau dengan senang hati membantu saya dan kawan saya menukar tayar tersebut malangnya selepas ditukar, tepat seperti tekaan saya, tayar ganti saya memang kempis.  Saya bagai nak pitam sebab waktu sudah menjangkau pukul 9.30 dan anak-anak hanya tinggal berdua di rumah.  Saya memberikan upah sebanyak RM20 kepada pemuda tersebut yang pada mulanya menolak duit tersebut tetapi saya menegaskan yang itu saya beri kerana keikhlasan beliau membantu saya.  Akhirnya beliau menerimanya.

Kemudian melihat tayar gantian saya juga kempis, pemuda itu membuka semula tayar itu dan membawanya ke stesen minyak berhampiran untuk mengisi anginnya semula.  Agak lama saya menunggu, dan akhirnya hampir pukul 10, beliau kelihatan membawa tayar yang sudah boleh digunakan.  Akhirnya dengan pertolongan pemuda itu, tayar saya berjaya diganti dan saya sampai ke pangkuan anak-anak dengan selamat.

Alhamdullilah, pertolongan sekecil zarah yang saya hulurkan tanpa sebarang niat mendapat balasan telah dibalas oleh Allah dengan pertolongan yang sangat besar pada saya.  Saya memikirkan apa yang akan jadi sekiranya pemuda itu tidak menolong saya dan saya bersendirian di keheningan malam Jumaat tadi di lebuh raya?  Maha Besar Allah...Aku sebagai hamba yang lemah mengucapkan syukur di atas pertolonganmu.  Subhanallah...Alhamdullilah ya Allah...


No comments:

Post a Comment